Saturday, February 19, 2011

Bila Mama boleh Tido


Assalamualaikum anak-anak mama....


sekarang dah jam 12.19 pagi, kerja mama masih belum siap. Sedangkan anak-anak mama sedang lena dibuai mimpi. Mama harap along, angah dan adik mimpikan yang indah-indah dan mimpikan kegembiraan yang membahagiakan. Sebagaimana anak-anak mama sentiasa gembira dan bahagia cuma sesekali anak-anak mama akan sedih dan menangis bila mama atau abah yang marah. Marah mama dan marah abah adalah untuk kebaikan anak-anak mama. Kembali kepada kerja mama... entahlah, perlukah mama mengeluh... sedangkan inilah kerja mama punca pendapatan yang membantu perbelanjaan abah untuk kita semua.


Kerjaya inilah yang membolehkan mama hidup gembira bersama kalian dan memenuhi keperluan kalian. Walaupun ianya tidak sebesar mana berbanding dengan perbelanjaan abah untuk kita sekeluarga. Terima kasih abah... kerana membahagiakan mama dan anak-anak. Tapi malam ini mama rasakan seperti membuang masa apa yang lakukan. Hujung tahun lepas mama dan kawan-kawan mama telah berhempas pulas menyiapkan 'kerja ini' tiba-tiba minggu ini kami diarahkan untuk membuat kerja yang sama cuma berlainan format sahaja. Satu minggu mama diberi tempoh untuk menyiapkannya... sekali lagi mama dan kawan-kawan mama akan berhempas pulas untuk kesekian kalinya untuk hantar esok 20/2/2011.


Along, Angah, Adik... mama minta maaf kerana berkasar dengan kalian tadi kerana mengganggu mama dan helaian kertas mama yang berselerak ini. Anak-anak mama... mama sayang kamu.

Saturday, February 5, 2011

Dedikasi




Salam semua... akhirnya berhasil juga blog yang mama bina khusus untuk keluarga kita terutamanya buat anak-anak mama, Along, Angah dan Adik. Sekian lama mama bercita-cita untuk memiliki blog istimewa ini, baru hari ini ianya berhasil. Sebenarnya terlalu banyak peristiwa-peristiwa penting dan menarik untuk mama coretkan di sini untuk kenangan kita sekeluarga. Cerita-cerita tentang Along yang sentiasa 'cool', cerita tentang Angah yang kurang sabar, dan cerita Adik yang kuat merajuk. Mungkin bila anak-anak mama sudah dewasa kelak, kalian pasti akan berasa sentiasa dekat dengan mama. Jejari mama akan terus menari selagi terdaya. Sekiranya abah yang baca blog ini, pasti abah akan tertawakan mama, pasti abah akan berkata "sejak bila mama jadi sentimental macam ni". Biarlah abah tertawakan mama, mama tetap sentimental bila membicarakan tentang anak-anak mama.






Along... Terima kasih mama ucapkan kerana menjadi anak yang baik buat mama dan abah. Teruskanlah agar Along menjadi contoh yang baik buat buat Angah dan Adik atau sesiapa jua yang dekat dengan Along. Sesungguhnya mama sungguh bertuah kerana dikurniakan seorang anak sulong yang teramat baik. Mama akan sentiasa mendoakan kejayaan Along dan adik-adik di dunia dan akhirat. Tahniah juga mama ucapkan untuk Along kerana berjaya mencapai cita-cita Along untuk menjadi Ketua Kelas Tahun 1 IK. Tunaikan tanggung jawab yang diamanahkan dengan sempurna.




Angah... Angah memang menceriakan lagi hidup mama dan abah. Tahun ini Angah sudahpun berusia 4 tahun. Sungguh cepat masa berlalu, sehinggakan mama tidak terasa bahawa Angah sudahpun 4 tahun. Angah memang kurang sabar orangnya, Kadang-kadang tahap kesabaran mama yang diuji. Tapi Angah pandai sejukkan hati mama, walaupun sedang marah, Angah akan buat mama tersenyum.




Adik... Adik pun dah berumur 1 tahun 5 bulan. Tapi keletahnya boleh tahan. Kuat merajuk.. adik juga bertuah kerana memiliki Along dan Angah yang sentiasa melindungi Adik walau apa keadaan sekali pun. Biasala... dah namanya Adik, dia akan cepat merajuk jika abangnya tidak memenuhi kehendaknya. Rajuk adik itula yang membuatkan kita selalu tertawa.




Abah... Hero mama dari dulu kini dan selamanya. Jangan lupa ulangtahun perkahwinan kita yang ke-8, dan jangan lupa hadiah untuk mama yer...




Ok... kalau diikutkan jejari mama ni tak mau berhenti menari... esok jumpa lagi. Love You All So Much.